=

Muzium Wau

Muzium Wau

Cadangan untuk menubuhkan sebuah muzium wau di Kelantan telah dibuat pada Oktober 2009 kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Pada pertengahan 2010, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengumumkan bahawa sebuah muzium wau akan dibina di Pantai Irama, Bachok sempena Pesta Wau Antarabangsa Kelantan Kali Ke-28 yang telah diadakan di pantai peranginan tersebut. Walau bagaimanapun, Pantai Sri Tujoh, Tumpat, Kelantan telah dipilih sebagai tapak Muzium Wau Kelantan ini. 

Muzium Wau Kelantan merupakan sebuah pusat rujukan dan maklumat mengenai sejarah perkembangan dan seni kraftangan wau seluruh dunia. Muzium ini turut mempamerkan pelbagai jenis wau dari seluruh dunia. Buku-buku rujukan dan peralatan membuat wau, seperti buluh, kertas dan tali sebagai bahan asas pembuatan kraf tangan itu juga disediakan. 

Muzium ini terletak berhampiran di tapak Pesta Wau Antarabangsa Kelantan, tempatnya betul-betul terletak di laluan utama ataupun pintu masuk ke kawasan Pantai Seri Tujoh. Muzium ini telah dibuka secara rasmi pada 08 Jun 2011 oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, YB Dato' Haji Takiyuddin Bin Haji Hassan.

Dari segi pengisiannya, di dalam Muzium Wau ini terdapat berbagai-bagai jenis wau tradisi yang dipamerkan. Contohnya Wau Bulan, Wau Kucing, Wau Jala Budi dan sebagainya. Di samping mempamerkan wau-wau tempatan, muzium ini juga turut mempamerkan wau-wau dari luar negara seperti wau dari negara Jepun, Thailand, Korea, Australia dan banyak lagi.

Selain daripada pameran tetap, muzium ini turut mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan penyertaan pengunjung. Mereka akan dapat merasai pengalaman membuat wau sendiri. Nasihat dan tunjuk ajar akan diberikan oleh tukang-tukang pembuat wau yang berada di sini. Untuk merasai pengalaman ini, pengunjung haruslah memohonnya terlebih dahulu barulah bengkel berkenaan dapat dijalankan.

Bayaran masuk ke Muzium Wau ialah RM2 untuk orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Muzium ini dibuka pada setiap hari kecuali hari Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang.

Lokasi Muzium  Wau adalah sebagaimana berikut

Ikuti perkembangan terkini mengenai Muzium Negeri Kelantan dengan "like"  FB Page https://www.facebook.com/perbadananmuziumnegerikelantan/  atau jadi rakan fb Muzium Negeri Kelantan di https://www.facebook.com/muzium.kelantan.35

  • myGOV
  • Kerajaan Negeri Kelantan
  • Jabatan Muzium Negara
  • Jabatan Warisan Negara
  • Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia
  • Arkib Negara Malaysia
  • Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan
  • Jabatan Perkhidmatan Awam
  • Muzium Terengganu
  • Muzium Pahang
  • Muzium Perak
  • Muzium Kedah
  • Muzium Pulau Pinang
  • Muzium Negeri Sembilan
  • Muzium Sabah
  • Muzium Sarawak