=

Balai Seni Lukis Kelantan

Balai Seni Lukis Kelantan

Bangunan asal Balai Seni Lukis Kelantan ialah di bangunan Muzium Perang (Bank Kerapu) yang terletak di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu. Di bangunan tersebut, Balai Seni Lukis Kelantan telah disempurnakan perasmiannya oleh KDYMM Raja Perempuan Kelantan pada 28 Mac 1988. Pada tahun 1992, Balai Seni Lukis Kelantan telah dipindahkan ke Muzium Negeri Kelantan kerana kerja–kerja pengubahsuaian Bank Kerapu untuk dijadikan Memorial Peperangan Dunia ke Dua di Kelantan.

Kini, Balai Seni Lukis Kelantan dibangunkan kembali di bangunan bersebelahan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) di Jalan Sultan  Ibrahim. Dahulunya bangunan ini merupakan sebuah Pejabat Penasihat British Kelantan yang terakhir. Selepas itu, bangunan ini dijadikan Pejabat Lembaga Kemajuan Tanah Negeri kelantan (LKTN) dan Pejabat Pembangunan Pemulihan Tanah Negeri Kelantan (TAKDIR). Pada tahun 1990, bangunan ini sekali lagi bertukar tangan dan telah dijadikan Pejabat Persatuan Bola Sepak Amatur Negeri Kelantan (KAFA) sehingga tahun 2006.

Pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Kelantan telah menyerahkan bangunan ini kepada Perbadanan Muzium Negeri Kelantan untuk dijadikan Balai Seni Lukis Kelantan. Pengubahsuaian bangunan giat dijalankan dan Balai Seni Lukis Kelantan siap sepenuhnya pada tahun 2012. Pada 9 Disember 2013, Balai Seni Lukis Kelantan yang baru ini telah dirasmikan sendiri oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Haji Mohd Amar Bin Abdullah.

Struktur bangunan Balai Seni Lukis Kelantan ini mempunyai dua tingkat. Tingkat bawah digunakan untuk pameran koleksi di mana sebanyak 73 buah lukisan dipamerkan. Manakala di tingkat atas dijadikan satu ruang untuk Persatuan Seni Lukis Kelantan (PESENI) mempamerkan hasil karya mereka. Selain itu, ruangan ini juga akan digunakan untuk pameran berkala serta aktiviti-aktiviti lain seperti bengkel lukisan dan pertandingan melukis yang dianjurkan oleh Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.

Matlamat penubuhan Balai Seni Lukis Kelantan ini ialah membantu pelukis-pelukis tempatan mempamerkan hasil karya mereka. Secara tidak langsung dengan usaha ini dapat memperkenalkan pelukis-pelukis tempatan kepada masyarakat.

Bayaran masuk ke Balai Seni Lulis Kelantan ialah RM2 untuk orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Balai seni ini dibuka pada setiap hari kecuali hari Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang.

Lokasi Balai Seni Lulis Kelantan adalah sebagaimana berikut

Ikuti perkembangan terkini mengenai Muzium Negeri Kelantan dengan "like"  FB Page https://www.facebook.com/perbadananmuziumnegerikelantan/  atau jadi rakan fb Muzium Negeri Kelantan di https://www.facebook.com/muzium.kelantan.35

Muzium Wau

Muzium Wau

Cadangan untuk menubuhkan sebuah muzium wau di Kelantan telah dibuat pada Oktober 2009 kepada Kerajaan Negeri Kelantan. Pada pertengahan 2010, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengumumkan bahawa sebuah muzium wau akan dibina di Pantai Irama, Bachok sempena Pesta Wau Antarabangsa Kelantan Kali Ke-28 yang telah diadakan di pantai peranginan tersebut. Walau bagaimanapun, Pantai Sri Tujoh, Tumpat, Kelantan telah dipilih sebagai tapak Muzium Wau Kelantan ini. 

Muzium Wau Kelantan merupakan sebuah pusat rujukan dan maklumat mengenai sejarah perkembangan dan seni kraftangan wau seluruh dunia. Muzium ini turut mempamerkan pelbagai jenis wau dari seluruh dunia. Buku-buku rujukan dan peralatan membuat wau, seperti buluh, kertas dan tali sebagai bahan asas pembuatan kraf tangan itu juga disediakan. 

Muzium ini terletak berhampiran di tapak Pesta Wau Antarabangsa Kelantan, tempatnya betul-betul terletak di laluan utama ataupun pintu masuk ke kawasan Pantai Seri Tujoh. Muzium ini telah dibuka secara rasmi pada 08 Jun 2011 oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, YB Dato' Haji Takiyuddin Bin Haji Hassan.

Dari segi pengisiannya, di dalam Muzium Wau ini terdapat berbagai-bagai jenis wau tradisi yang dipamerkan. Contohnya Wau Bulan, Wau Kucing, Wau Jala Budi dan sebagainya. Di samping mempamerkan wau-wau tempatan, muzium ini juga turut mempamerkan wau-wau dari luar negara seperti wau dari negara Jepun, Thailand, Korea, Australia dan banyak lagi.

Selain daripada pameran tetap, muzium ini turut mengadakan aktiviti-aktiviti yang melibatkan penyertaan pengunjung. Mereka akan dapat merasai pengalaman membuat wau sendiri. Nasihat dan tunjuk ajar akan diberikan oleh tukang-tukang pembuat wau yang berada di sini. Untuk merasai pengalaman ini, pengunjung haruslah memohonnya terlebih dahulu barulah bengkel berkenaan dapat dijalankan.

Bayaran masuk ke Muzium Wau ialah RM2 untuk orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Muzium ini dibuka pada setiap hari kecuali hari Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang.

Lokasi Muzium  Wau adalah sebagaimana berikut

Ikuti perkembangan terkini mengenai Muzium Negeri Kelantan dengan "like"  FB Page https://www.facebook.com/perbadananmuziumnegerikelantan/  atau jadi rakan fb Muzium Negeri Kelantan di https://www.facebook.com/muzium.kelantan.35

  • myGOV
  • Kerajaan Negeri Kelantan
  • Jabatan Perkhidmatan Awam
  • MAMPU
  • MSC Malaysia
  • mySMS 15888
  • MyID