Juga dikenali Memorial Perang Dunia Kedua ini ditubuhkan pada tahun 1991, terletak di Jalan Sultan bersebelahan dengan Padang Merdeka. Bangunan ini asalnya bank "The Mercantile Bank of India Limited" yang beroperasi pada tahun 1912, ia juga dikenali sebagai Bank Kerapu kerana keadaaan dinding bank tersebut ditampal dengan simen berkerutu dan tidak licin.
Pada tahun 1981 Kerajaan Negeri Kelantan mengambil alih bangunan tersebut bagi kegunaan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan tingkat atas dijadikan Dewan Kraftangan. Tahun 1991 ditubuhkan "Memorial Perang Dunia Kedua” dan digunakan sepenuhnya sebagai tempat pameran kesan-kesan sejarah Peperangan Dunia Kedua (1941-45).
Muzium ini mempamerkan artifak, gambar-gambar mengenai sejarah peperangan Dunia Kedua secara ringkas khususnya di Negeri Kelantan yang merupakan permulaan Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu bermula di Kuala Pak Amat Kota Bharu pada awal 8 Disember 1941 dengan menerima serangan pertama tentera Jepun.
Matlamat penubuhan Muzium Perang ini ialah menampilkan kesan Peperangan Dunia II di Kelantan iaitu pada 1941 - 1945, juga bagi memperingati peristiwa sejarah penting bagi Negeri Kelantan dan menimbulkan kesedaran cintakan keamanan sejagat, semangat kebangsaan, perjuangan untuk mencapai kemerdekaan dan penubuhan Malaysia.
Bayaran masuk ke Muzium Perang ialah RM2 untuk orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Manakala pengunjung antarabangsa pula bayarannya ialah RM4 untuk orang dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak. Muzium ini dibuka pada setiap hari kecuali hari Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang.