
14 September 2025
Pada 13 dan 14 September 2025 (Sabtu dan Ahad), Muzium Negeri Kelantan, Kota Bharu telah menjadi lokasi penganjuran Program Bermalam di Muzium yang disertai seramai 30 pelajar dari tiga buah sekolah iaitu SMU(A) Sullamiah Bunut Payong, Maahad Pengajian Islam (MPI) Kota Bharu dan SMU(A) Darul Anuar.
Program ini merupakan inisiatif nasional di bawah Jabatan Muzium Malaysia yang berlangsung serentak di 31 muzium seluruh negara dengan penyertaan keseluruhan seramai 2,240 pelajar sekolah menengah.
Sepanjang dua hari satu malam, para peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti menarik seperti Sesi Perkongsian Ilmu 'Siapa Kurator', Aktiviti Miniatur, Ceramah Akademi Kenegaraan Malaysia, Tiktok Sejarah, Misi Kurator Muda serta Wira Fun Walk @ Muzium yang melibatkan lawatan ke empat muzium utama di Kota Bharu iaitu Muzium Adat Istiadat (Istana Jahar), Muzium Diraja (Istana Batu), Muzium Kraftangan dan Muzium Perang (Bank Kerapu).
Penganjuran program ini bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar tentang kepentingan memahami, menghargai dan memelihara sejarah, budaya serta warisan negara, di samping menggalakkan mereka mendekati muzium serta mengenali peranan institusi tersebut dalam pembangunan masyarakat.