
13 Oktober 2025
Pada 10 – 12 Oktober 2025 (Jumaat - Ahad), Perkarangan Muzium Negara menjadi saksi kebangkitan memori kampung dalam acara penuh warna-warni Nostalgia Anak Kampung: Temasya Riuh Sekampung. Program anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) ini berjaya menarik pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat untuk merasai kembali keindahan budaya warisan tradisi bangsa.
Menurut kenyataan rasmi, program ini bertujuan untuk memperkukuh perpaduan nasional dengan mempertemukan masyarakat pelbagai kaum melalui warisan budaya bersama.
Dalam ucapan perasmian oleh YBrs. Encik Mohamad Sobri bin Mat Daud, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan Strategik), Kementerian Perpaduan Negara, yang mewakili YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, beliau menegaskan bahawa muzium tidak lagi harus dilihat sebagai tempat menyimpan barang lama, tetapi sebagai ruang pembelajaran aktif yang menyambung masa lalu dan hari ini.
Menariknya, Perbadanan Muzium Negeri Kelantan turut menyemarakkan suasana dengan Persembahan Dikir Barat, Pameran dan Demonstrasi Wayang Kulit, Demonstrasi Membuat Wau, serta aktiviti melastik tin tradisional dan menjamu selera nasi gulai kawah Kelantan.
Semoga program seperti ini diteruskan agar warisan budaya bangsa terus hidup subur dalam jiwa rakyat Malaysia.