14 Januari 2026
Perbadanan Muzium Negeri Kelantan telah menganjurkan program Sepetang Bersama Legasi Ismail Embong di Balai Seni Lukis Negeri Kelantan. Program yang bermula pada 10 Januari 2026 (Rabu), jam 2.30 petang itu bertemakan penghargaan terhadap legasi seni Ismail Embong dan diisi dengan pelbagai pengisian menarik, termasuk sesi perkongsian keluarga serta ‘meet and greet’ bersama anak-anak beliau iaitu Chacha Maembong, Emma Maembong dan Shikin Maembong, serta Cat Farish, suami kepada Shikin Maembong.
Ismail Embong merupakan seorang pelukis dan tokoh seni visual terkemuka negara yang dikenali melalui karya-karyanya yang mengangkat sejarah, budaya serta identiti masyarakat tempatan dan warisan Melayu melalui medium seni visual. Pada sebelah pagi program tersebut, beliau turut diraikan menerusi penganjuran Bengkel Kelas Bimbingan Seni Lukis yang memberi peluang kepada peserta mendalami teknik dan pendekatan seni lukis.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri Kelantan, YB Zamakhshari bin Muhamad, dalam ucapannya berkata bahawa penganjuran program ini bukan sahaja memperingati sumbangan besar Ismail Embong kepada dunia seni, malah memperkukuh peranan Balai Seni Lukis Negeri Kelantan sebagai pusat pendidikan dan inspirasi seni kepada masyarakat.
Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, YBhg. Dato’ Sr. Zamri bin Ismail dan Pengarah Tanah dan Galian (PTG), YBhg. Dato’ Haji Nik Raisnan bin Haji Daud, serta rakan-rakan strategik lain.
Perbadanan Muzium Negeri Kelantan berharap penganjuran program seperti ini dapat terus mengangkat martabat seni di peringkat negeri dan nasional, di samping memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada tokoh-tokoh seni tanah air yang telah banyak berjasa dalam pembangunan seni visual Malaysia.