• Soalan Lazim
  • Hubungi Kami
  • Aduan & Maklumbalas
  • Peta Laman

Helikopter Aloutte MKIII

Latar Belakang

Pesawat Alouette III adalah sebuah helikopter utiliti yang ringan berenjin tunggal serta mempunyai ruang yang lebih besar dan memiliki lebih tempat duduk. Pesawat ini mengunakan enjin jenis turbin aci Turbomeca Artouste IIIB yang dibuat oleh syarikat Perancis, Sud Aviation (Sud Aviation dan Nord Avation bergabung membentuk Aerospatiale pada tahun 1970).

Alouette III diakui kerana kemampuannya bertindak sebagai pesawat pengangkut, peninjau, command post dan tembakan bantuan (gunship) serta melaksanakan operasi menyelamat terutamanya di kawasan-kawasan pergunungan.
 
Tentera Udara Malaysia telah menggunakan pesawat Alouette III ini sejak tahun 1963. Pesawat ini pernah digunakan oleh TUDM semasa Operasi Daoyai Musnah, Operasi Cahaya Bena, Operasi Selamat Sawadee dan lain-lain sekitar Gubir pada tahun 1976.

Pada tahun 1995, sebanyak 10 unit pesawat Alouette III telah diserahkan kepada Skn. 881 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) sebagai nukleus kepada pasukan udara Tentera Darat Malaysia dimana pesawat ini telah mencapai status operasi sepenuhnya pada tahun 1997.

Pada tanggal 7 September 2013, satu Majlis Nostalgia Sambutan Ulangtahun ke-50 Pesawat Alouette III telah pun diadakan di Mes Wira Angkasa, Pangkalan Udara Kuala Lumpur bagi memperingati sumbangan dan jasa pesawat Alouette III sepanjang penggunaanya bersama TUDM. TUDM juga telah berjaya menghimpunkan kesemua pegawai dan anggota TUDM serta bekas juruterbang dan krew pesawat Alouette III yang telah bersara dan masih dalam perkhidmatan bagi mengenang jasa wira-wira TUDM disamping menghargai sumbangan para juruterbang serta krew yang pernah berkhidmat bersama pesawat Alouette III. Majlis ini dihadiri sendiri mantan Panglima Tentera Udara, YBhg. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM (Bersara).

Berikut adalah nombor siri pesawat Alouette III sepanjang perkhidmatan di TUDM

i)   Pesawat Alouette III bernombor siri dari FM1301-FM1325 (25 unit pendaftaran awal, tidak termasuk 7 unit dipindahkan dari Tentera Udara Rep. Singapura (RSAF) ke TUDM). Pada tahun 1978, 7 unit pesawat Alouette III SA 316B telah diterima oleh TUDM daripada Tentera Udara Rep. Singapura (RSAF).
ii)   Nombor siri pesawat Alouette III ini telah ditukar dengan menggunakan nombor pendaftaran baru bermula M20-01 hingga M20-29
Dalam proses menaiktaraf Muzium Perang (Bank Kerapu), pihak PMNK telah dihadiahkan sebuah pesawat Alouette III (No. Siri : M20-20) daripada Kementerian Pertahanan Malaysia. Proses pengambilan pesawat ini telah dibuat pada 23 Disember 2019 di Airod Sdn. Bhd, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang oleh Encik Shahrul Hisham b. Abdul Ra-aid (wakil PMNK) dan telah menandatangani surat pengesahan penerimaan pesawat di hadapan Kapten Amrin b. Anuwar dari TUDM. Pesawat Alouette III ini telah berjaya dibawa balik dan telah pun direstorasi semula dimana pesawat ini diletakkan di perkarangan Muzium Perang untuk dipamerkan kepada orang ramai.

Proses Restorasi

Klip Video