Latar Belakang Balai Seni Lukis Kelantan
Bangunan asal Balai Seni Lukis Kelantan ialah di bangunan Muzium Perang (Bank Kerapu) yang terletak di Jalan Post Office Lama, Kota Bharu. Di bangunan tersebut, Balai Seni Lukis Kelantan telah disempurnakan perasmiannya oleh KDYMM Raja Perempuan Kelantan pada 28 Mac 1988. Pada tahun 1992, Balai Seni Lukis Kelantan telah dipindahkan ke Muzium Negeri Kelantan kerana kerja–kerja pengubahsuaian Bank Kerapu untuk dijadikan Memorial Peperangan Dunia ke Dua di Kelantan.
Kini, Balai Seni Lukis Kelantan dibangunkan kembali di bangunan bersebelahan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) di Jalan Sultan Ibrahim. Dahulunya bangunan ini merupakan sebuah Pejabat Penasihat British Kelantan yang terakhir. Selepas itu, bangunan ini dijadikan Pejabat Lembaga Kemajuan Tanah Negeri kelantan (LKTN) dan Pejabat Pembangunan Pemulihan Tanah Negeri Kelantan (TAKDIR). Pada tahun 1990, bangunan ini sekali lagi bertukar tangan dan telah dijadikan Pejabat Persatuan Bola Sepak Amatur Negeri Kelantan (KAFA) sehingga tahun 2006.
Pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Kelantan telah menyerahkan bangunan ini kepada Perbadanan Muzium Negeri Kelantan untuk dijadikan Balai Seni Lukis Kelantan. Pengubahsuaian bangunan giat dijalankan dan Balai Seni Lukis Kelantan siap sepenuhnya pada tahun 2012. Pada 9 Disember 2013, Balai Seni Lukis Kelantan yang baru ini telah dirasmikan sendiri oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, YB Dato' Haji Mohd Amar Bin Abdullah.
Struktur bangunan Balai Seni Lukis Kelantan ini mempunyai dua tingkat. Tingkat bawah digunakan untuk pameran koleksi di mana sebanyak 73 buah lukisan dipamerkan. Manakala di tingkat atas dijadikan satu ruang untuk Persatuan Seni Lukis Kelantan (PESENI) mempamerkan hasil karya mereka. Selain itu, ruangan ini juga akan digunakan untuk pameran berkala serta aktiviti-aktiviti lain seperti bengkel lukisan dan pertandingan melukis yang dianjurkan oleh Perbadanan Muzium Negeri Kelantan.