Latar Belakang Muzium Kuala Krai
Asalnya dikenali sebagai Galeri Kuala Krai. Ia telah disempurnakan perasmiannya oleh YTM Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra (Tengku Mahkota Kelantan) pada 4 November 2014.
Bangunan muzium ini dahulunya adalah sebuah Mahkamah Majistret Kuala Krai. Kemudiannya dipinjamkan kepada Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Kelantan untuk dijadikan galeri, manakala pengurusannya pada waktu itu dibawah tanggungjawab Majlis Daerah Kuala Krai. Pada 30 Mac 2016 sehingga kini, ia diserahkan kepada Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan kemudiannya dikenali sebagai Muzium Kuala Krai.
Lokasinya terletak dihadapan Majlis Daerah Kuala Krai dan bersebelahan Perpustakaan Awam Kuala Krai. Ia menyimpan artifak mengenai Jajahan Kuala Krai seperti tokoh-tokoh ternama yang berasal dari Kuala Krai, sejarah penubuhan Jajahan Kuala Krai, jenis-jenis batu sempadan mukim, daerah, jajahan, negeri dan negara. Sejarah Cik Siti Wan Kembang juga ada dipamerkan di Muzium Kuala Krai.
Matlamat penubuhan ialah mempersembahkan kesan-kesan sejarah yang ditemui di jajahan Kuala Krai untuk tatapan umum.
Bayaran Masuk
RM2 untuk orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Manakala pengunjung antarabangsa pula bayarannya ialah RM4 untuk orang dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak.
Waktu Operasi
Muzium ini dibuka pada hari Ahad - Khamis bermula jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang dan ditutup pada hari Jumaat & Sabtu.