Latar Belakang Muzium Islam
Bangunan Muzium Islam asalnya adalah rumah kediaman bekas Menteri Besar Kelantan iaitu Encik Hassan Bin Mohd Salleh (Dato Menteri 1895-1990). Ia terletak di Jalan Sultan, Kota Bharu bersebelahan dengan Masjid Muhammadi, Padang Merdeka dan Muzium Perang (Bank Kerapu). Dibina pada tahun 1902 berasaskan gaya dan ciri-ciri model rumah melayu Kelantan sekitar hujung abad ke-19 dan awal abad ke-20. Pada tahun 1917, bangunan ini telah dijadikan sebagai pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sehingga tahun 1990.
Kini bangunan ini telah dijadikan galeri Muzium Islam di mana telah dirasmikan oleh KDYMM Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada tahun 11 November 1991.
Muzium ini berfungsi sebagai institusi bagi mengumpul, menyelidik, memelihara dan mempamerkan warisan sejarah sosial budaya masyarakat Islam. Antara koleksi-koleksi pameran di sini ialah artifak, gambar-gambar, rajah-rajah yang berkaitan dengan sejarah kedatangan Islam ke Kelantan-Nusantara, tokoh-tokoh agama Islam, Jabatan Agama, Majlis Agama Islam Kelantan dan berbagai koleksi dari Negara-Negara Islam. Pada masa ini Replika Mumia Firaun dan Kerandanya ada dipamerkan di tingkat atas Muzium Islam.
Galeri pameran di muzium ini menampilkan koleksi muzium dalam bentuk artifak, model, replika dan peta mengenai sejarah dan perkembangan Islam di Negeri Kelantan. Sehingga kini 350 koleksi telah dipamerkan.
Galeri pameran di muzium ini menampilkan koleksi muzium dalam bentuk artifak, model, replika dan peta mengenai sejarah dan perkembangan Islam di Negeri Kelantan. Sehingga kini 350 koleksi telah dipamerkan.
Galeri Muzium Islam
Matlamat penubuhan Muzium Islam ini ialah sebagai media dakwah dan pendidikan Islam dengan hasrat menimbulkan rasa cinta dan bangga dengan agama Islam yang dianuti oleh rakyat di negeri ini.
Bayaran Masuk
RM2 untuk orang dewasa dan RM1 untuk kanak-kanak. Manakala pengunjung antarabangsa pula bayarannya ialah RM4 untuk orang dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak.
Waktu Operasi
Muzium ini dibuka pada setiap hari kecuali hari Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 4.45 petang.