Latar Belakang Muzium Adat Istiadat (Istana Jahar)
Dikenali dengan nama Istana Jahar kerana rekabentuk senibina tradisional melayu Kelantan. Muzium ini pada asalnya merupakan Istana Raja Bendahara Long Kundur Bin Sultan Ahmad, ia dibina pada tahun 1887. Istana ini juga pernah menjadi tempat persemayaman beberapa sultan yang memerintah termasuk Almarhum Sultan Ismail Ibni Sultan Muhammad IV (1920 – 1944).
Muzium Adat Istiadat ini telah ditubuhkan pada tahun 1992 dan upacara perasmiannya telah disempurnakan oleh Al-Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 27 Julai 1992. Bangunan ini merupakan bangunan yang menjadi hak milik Perbadanan Muzium Negeri Kelantan dan telah diwartakan sebagai bangunan bersejarah Negeri Kelantan pada tahun 2005 di bawah Akta 645.
Di sini dipamerkan berbagai jenis Adat Istiadat Diraja Kelantan sejak zaman berzaman. Selain daripada itu, turut dipamerkan juga jenis-jenis tekstil, alat perhiasan diri, pakaian dan barang-barang tembaga untuk tontonan umum generasi kini dan akan datang. Bangunan ini sendiri telah melambangkan senireka bangunan dan hiasan istana kesultanan Kelantan yang terkenal.
Pada bahagian belakang bangunan istana ini terletak Balai Senjata yang mempamerkan alat-alat senjata lama Negeri Kelantan seperti keris, lembing, badik, kelewang dan lain-lain.