Latar Belakang Muzium Diraja (Istana Batu)
Muzium Diraja juga dikenali dengan nama Istana Batu. Pada waktu itu, dipanggil Istana Batu kerana struktur bangunan ini diperbuat dari konkrit simen, manakala dua buah Istana berdekatan iaitu Istana Balai Besar dan Istana Jahar diperbuat dari kayu. Dibina pada tahun 1939 iaitu pada zaman pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV. Istana ini dibina khas sebagai hadiah perkahwinan kepada KDYMM Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim (1961-1979) dengan DYMM Tengku Zainab Binti Tengku Muhammad Petra, daripada ayahanda saudara baginda KDYMM Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Muhammad IV (1920-1944). Istana ini menjadi tempat persemayaman Almarhum Sultan Yahya Petra Ibni Almarhum Sultan Ibrahim sehingga 1961, semasa Baginda sebagai Tengku Mahkota Kelantan. Kemudiannya selepas itu Baginda berangkat bersemayam pula di Istana Kota Lama di Jalan Sultanah Zainab.
Pada tahun 1969, Istana ini telah dijadikan Istana rasmi kepada YTM Tengku Mahkota Kelantan pada waktu itu, Tengku Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra yang kemudiannya ditabal menjadi Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan Darulnaim.
Di muzium ini mempamerkan Sejarah Kesultanan Kelantan sejak awal hingga sekarang termasuk salasilah, penulisan-penulisan, rajah-rajah, gambar-gambar, pakaian-pakaian rasmi, barang-barang hadiah dan lain-lain yang berkaitan dengan Kesultanan Kelantan. Setiap ruang dan bilik yang terdapat di istana ini disusun atur indah dengan barangan kristal, perak dan tembaga serta perabot antik yang tidak ternilai harganya.
Muzium ini terletak di Jalan Hilir Kota iaitu berhampiran dengan Istana Balai Besar dan Muzium Kraftangan manakala bahagian belakang terdapat Masjid Muhammadi (Masjid Negeri). Kawasan ini dikenali Zon Budaya yang meliputi bangunan-bangunan bersejarah lain. Perhubungan dengan pusat bandar Kota Bharu juga amat mudah serta berhampiran dengan pusat membeli belah Pasar Siti Khadijah dan Bazar Buluh Kubu.